"Silakan Putar Vedio Ini"
RASULULLAH menangis, hiba hatinya mendengar luahan hati seorang ayah mengenai anaknya. Lelaki tua itu berkata: “Ketika
kecil, tanganku inilah yang memberimu makan. Engkau kehausan, akulah
yang menuangkan. Jika kau sakit, tiada aku tidur sepanjang malam,
sakitmu itu membuatku kerisauan. Tetapi kini selepas engkau mencapai
tujuan. Kulihat dalam dirimu apa yang tidak kuharapkan. Kau balas
dengan kekerasan dan kekasaran. Seolah-olah nikmat dan anugerah itu
engkau yang berikan.”
Berlinangan air mata Rasulullah, baginda memanggil anak itu dan bersabda kepadanya: “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayahmu.” Hadis riwayat Ibn Majah, Imam Ahmad dalam al-Musnad, Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan al-Baihaqi dalam al-Sunan.
Kasih sayang ayah dan ibu adalah hutang yang tidak pernah dapat
dibayar oleh seseorang anak. Namun ramai anak yang cuba mengungkit
setiap pemberian mereka kepada kedua-dua orang tua. Tindakan sebegitu
pasti amat melukakan hati kedua-duanya. Tidakkah mereka sedar kehidupan
yang dikecapi sekarang bermula daripada setitis air mani ayah dan
keredaan seorang ibu menanggung derita dalam kehamilan. Jika dapat
dihitung segala jasa mereka, sungguh dunia dan seisi ini takkan mampu
membayar balik jasa mereka.
Pada suatu hari, ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah.
Ada seorang lelaki berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam
keadaan cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya, dia amat
keletihan. Orang itu bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku atas apa yang ia lakukan untukku selama ini?” Ibnu Umar menjawab: “Demi Allah, tidak walaupun satu nafasnya.”
Bagaimana dengan berjuta nafas yang dihirup oleh seorang ibu demi
bayi di dalam rahimnya? Sentuhannya, dakapan dan titisan air susunya?
Sanggupkah kita membayar semua itu? Berapakah harga setiap suapan hasil
titik peluh ayah? Harga didikan adab dan ilmu yang diajarkan kepada kita
sehingga menjadikan kita mulia di mata manusia?
Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah
mengharamkan ke atas kalian tiga perkara dan membenci tiga perkara: Ia
mengharamkan derhaka kepada ibumu, membunuh anak perempuan, tidak mahu
memberi tapi suka meminta. Ia membenci tiga perkara: Banyak bercakap
kosong, banyak bertanya,†Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
Dr A’id al-Qarni ketika membahaskan mengenai hadis di atas berkata:
Perbuatan derhaka kepada ibu dan ayah adalah seperti memutuskan daripada
menziarahi kedua-duanya, tidak memberikan nafkah kepada mereka
sedangkan mereka berhak mendapat nafkah, menyakiti hati mereka dan tidak
memenuhi hak mereka.
Tiada siapa yang mahu dikatakan dirinya anak derhaka. Tetapi tindakan
dan sikap yang ditunjukkan oleh seseorang anak itu adalah gambaran
zahir yang tidak dapat disembunyikan. Pandangan manusia boleh menilai
walaupun sifatnya subjektif. Apatah lagi pandangan Allah, siapakah yang
boleh menyembunyikan aibnya? Penderhakaan itu akan membekas di hati ibu
bapa dan akan dibawa sampai ke mati. Tentunya kita tidak sanggup melihat
keadaan ini.
Ada yang berpendapat bahawa semua itu adalah akibat salah ibu bapa
mendidik. Tetapi bukankah manusia bertambah dewasa dan tahu memilih yang
benar dan salah? Untuk apa akal dan hati yang Allah cipta dan kurniakan
jika bukan untuk memujuk ego supaya tunduk pada ajaran yang hak?
Ada pula yang berani berkata: “Atas sebab ibu bapa durhaka kepada anak, maka anak pun membalas!”
Hati jenis apakah yang sanggup membalas kekhilafan ibu bapanya dengan
kejahatan dan dendam? Maknanya jika ibu menampar wajah anak, anak pula
berhak membalas tamparan itu ke wajah ibunya?
Kalau memang ibu bapa itu jahat, apakah mereka akan membiarkan diri
kita hidup dari dulu lagi. Mereka boleh melepaskan tanggungjawab jika
mahu. Mengapa disebabkan kesalahan yang sedikit, maka kebaikan yang
terlalu banyak dilupakan?
Ibu bapa kita adalah sumber kekuatan diri kita. Iman tidak sempurna
jika kita menggoreskan kebeningan hati mereka. Di tengah kesibukan dunia
yang menenggelamkan hati dan perasaan anak, ada satu masa anak pasti merasa tersiksa bilamana dia mengingat kembali pelukan dan ciuman
kasih ayah ibunya tetapi tiada peluang baginya untuk memohon ampun
kepada kedua-duanya.
Kembalilah kepada mereka dengan hati yang ikhlas, sebelum segala berakhir dengan kesedihan dan penyesalan sepanjang hayat. “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayah ibumu”! Satu prinsip yang diajar oleh Rasulullah sebagai ingatan bahawa kebahagiaan anak itu bermula daripada hati ibu bapa yang ridho.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar